Perjuangan sebagai hambaNya

"Pakai macam jalang!" tersentak Nusaibah mendengar kata - kata  ayahnya yang dilemparkan padanya. "Kau ni tak guna, pandai melawa je." pedih tetapi itulah makanan Nusaibah yang terpaksa ditelan. 

Keras riak wajah Nusaibah menahan air mata di hadapan ayahnya, ego seorang anak. Empangan air matanya hampir pecah namun ditahan tatkala menyedari ibunya memandang dari jauh. 

___

Air mata diseka. Sejarah silam masih meninggalkan bisa pada diri Nusaibah. Pen di tangan diletakkan, buku catatannya ditutup dan disimpan di dalam beg.

'Bersediakah aku?' getus hatinya. 

"Sejam lagi usrah akan bermula", mesej daripada sahabatnya, Khadijah. "Baik in shaa Allah", balasnya ringkas. 

Jemputan yang diterima daripada Khadijah untuk memberi sedikit perkongsian usrah mengenai 'Jihad menutup aurat' itu amat memberi kesan dalam diri Nusaibah. Layakkah dirinya untuk menyampaikan tajuk itu? Akankah dosa - dosa silamnya menghalangi sampainya isi perkongsiannya kepada pendengar? 

Hatinya dalam kerisauan tetapi digagahkan untuk membantu sahabatnya. 

'Izinkan aku Ya Allah, mengusik hati mereka untuk mendekatiMu', getus hati kecilnya yang sangat mengharapkan pertolongan daripada 'Pemilik'nya.

___

"Akak, boleh akak kongsikan turning point akak dalam menutup aurat? Dan kekuatan akak untuk terus (istiqamah) menutup aurat?", soal Irdina, salah seorang ahli usrah Khadijah.

Nusaibah membalas soalan Irdina dengan senyuman manis yang tersorok secebis kesakitan. 

"Adik - adik, sahabat - sahabat yang dikasihi Allah in shaa Allah. Bukan mudah kan untuk kita menutup aurat. Peluh mengalir, tapi kita tetap perlu tetap menutupnya. Bahang menerpa, tapi lidah perlu kekal berzikir mohon dipinjamkan kekuatan dariNya."

"Kisah akak bukanlah kisah yang hebat untuk dijadikan sebuah qudwah. Ini cuma kisah perjalanan akak mencari hati dan menagih hati yang baru. Kisah pengharapan seorang hamba Allah yang tersangatlah hina. Semoga Allah pandu hati - hati kita in shaa Allah."

"Akak pernah dan masih diuji dengan ujian hati. Bukan hati yang mencintai seorang ajnabi. Tetapi hati yang tenat dengan hiasan dunia. Dahagakan pandangan dan pujian manusia. Percubaan akak menutup aurat bukan percubaan yang mudah. Awal niatnya untuk menutup kerana Allah. Allah sayang orang yang menjaga agamanya. Allah akan bantu hambaNya yang mendirikan agamaNya. Lama kelamaan niat terpesong dek kerana pujian manusia. Hati akak menutup kerana takut manusia tidak lagi memandang akak dengan pandangan yang baik. Nauzubillahi min zalik."

"Apabila akak menyedari perkara itu telah berlaku, akak takut sangat. Akak betul - betul takut. Adakah pujian dan pandangan manusia yang akak tagih? Akak takut dik. Di mana malu akak untuk berhadapan dengan Allah dik, di mana akak nak lari dik?"

"Satu hari, sedang akak lihat video - video di facebook. Akak terjumpa satu video, jurucakap dalam video tu tanya, 'seandainya kamu berjumpa Rasulullah S.A.W, apa yang akan kamu lakukan?'. Usai video tu, akak lama terdiam dan berfikir. Mau ke akak berjumpa Rasulullah? Pasti baginda nampak betapa kotornya hati akak. Buruknya akak dihadapan baginda, belum dihadapan Allah dik."

"Akak takut. Takut sangat. Adakah pakaian akak menjamin akak mendapat pandangan Allah dan syafaat baginda? Tidak dik. Sebab tu akak terus kuat. Akak nak jadi baik walaupun akak belum baik. Sekurang - kurangnya, akak mencuba dik." Sebak Nusaibah menutup ceritanya. 

"Akak, maaf saya nak tanya. Apa antara ujian yang akak hadapi sepanjang akak berusaha untuk berubah?", soalan kedua daripada Sofea yang sangat menyakitkan Nusaibah. Bukan secara fizikal, tetapi mendera rohani Nusaibah. 

Senyum Nusaibah membalas soalan Sofea, hatinya berdegup laju teringat peristiwa - peristiwa yang pernah dihadapinya. Hatinya zikir. Cuba untuk ditenangkan sebelum menjawab soalan itu. 

"Ketakutan akak menjadi kenyataan. Itulah antara perkara yang akak takutkan yang pernah terjadi kepada akak. Fitnah hati."

"Akak hanyut dengan cinta dunia. Pujian yang mematikan hati. Sehingga akak lupa, Allah sentiasa memerhati. Dialah Maha Mengetahui segala sesuatu walaupun lintasan hati." Jawab Nusaibah satu per satu kalimah keluar dari bibirnya setelah jeda yang agak lama. Dia cuba untuk tidak membuka aibnya yang telah sempurna Allah tutupkan. 

___

Di akhir usrah, Khadijah berpesan kepada adik - adiknya untuk menulis surat cinta untuk Rasul. Luahkan dan simpan dalam jagaan peribadi. Itu antara diri masing - masing dengan Allah. Jadikan itu antara cara untuk menyuburkan cinta pada baginda. 

Nusaibah membalas pesanan Khadijah dengan senyuman yang manis. 

Comments