Surat Cinta

Daun pintu ditolak perlahan daripada luar. Kelihatan Nusaibah sedang duduk di atas tikar sejadah, dalam dunianya sendiri. Seperti seorang professor, berfikir formula baru untuk kajiannya. Diam dan khusyuk. Lama memerhati dengan penuh kasih terhadap sahabatnya, Fatimah tersedar pipi Nusaibah basah hidungnya merah. 

'Nusaibah, aku tahu kau kuat untuk menghadapi ujian ini.' getus hati kecil Fatimah. 

---

"Saibah, okay tak?" soal Fatimah sambil melihat Nusaibah mengambil segelas air di dapur. 
"Okay alhamdulillah. Kenapa tu?" jawab Nusaibah sambil tersenyum.
'Kau masih boleh tersenyum. Masya-Allah.' tersenyum nipis Fatimah sambil menggeleng kecil menjawab pertanyaan Nusaibah. 

Bangun Fatimah meninggalkan Nusaibah di ruang dapur rumah sewa mereka menuju ke kamar beradunya. Apa yang terjadi kepada Nusaibah kelmarin masih menganggu fikirannya. 'Surat cinta' yang diterima Nusaibah bukan membuahkan senyuman tetapi tangisan kepiluan. 

Mengapa masih wujud golongan seperti itu. Kenapa sahabatnya yang menjadi mangsa. Niat sahabatnya baik, tetapi mengapa ini yang diterimanya. 

---

Fatimah melihat Nusaibah duduk di meja makan sambil melihat kepada telefon pintarnya. Perlahan - lahan Fatimah berjalan menghampiri Nusaibah dengan harapan untuk mengejutkannya, namun situasi terbalik apabila dia yang dikejutkan dengan tangisan Nusaibah. Laju Fatimah mengambil tempat di sisi Nusaibah dan menenangkannya. Tangan Nusaibah digenggam erat. 

"Nak air?" soal Fatimah memecahkan kebisuan antara mereka. Nusaibah mengangguk kecil menerima pelawaan sahabatnya. 
"Saibah.. saya ada tau. Saya sudi mendengar. Bila lagi nak gunakan saya kan?" gurauan Fatimah dibalas dengan senyuman manis Nusaibah. Nusaibah memasukkan kata laluan pada telefon pintarnya dan menunjukkan mesej yang diterimanya. 

Salam. Saya tengok gambar awak di facebook dan saya rasa awak boleh puaskan nafsu saya. Saya harap awak sudi berkenalan dengan saya untuk tutup pintu fitnah ni.

Merah muka Fatimah menahan marah dan malu. 
"Tak guna punya jantan! Bo..." belum habis menuturkan kata.
'Pang..' 

Tersedar Fatimah daripada tidurnya. Pipinya terasa panas akibat tamparan hebat Nusaibah walaupun hanya dalam mimpinya. 'Sampai terbawa dalam mimpi..' monolog Fatimah. Langkah diatur keluar bilik tidurnya kerana matanya segar dek 'tamparan' Nusaibah. 

"Saibah belum tidur?" soalnya ketika ternampak Nusaibah duduk di sofa dengan tafsirnya. 
"Belum. Tak dapat lelapkan mata. Timah terjaga ke?" soalnya semula. 
"Iya. Awak tampar saya." jelas Fatimah menceritakan mimpinya. Tergelak kecil Nusaibah. 

"Saibah okay ke?" jelas kerisauan seorang sahabat. 
"Timah, sabar itu cinta. Kalau dulu Rasulullah difitnah, dihina ketika menyebarkan agama Islam baginda tetap bersabar kerana cintanya kepada Allah terlalu besar. Saya yang diuji dengan sedikit gangguan pun da jatuh air mata. Hebatkan baginda. Masya-Allah." tuturnya dalam kekesalan.
"Saya cuma terkejut. Saya malu. Malu sangat. Alhamdulillah kita dilahirkan dalam Islam. Ketenangan itu ada dengan hanya dengan zikir mengingati Allah. Ketenangan ini bukan datang daripada amalan kita yang tak seberapa, hakikatnya datang daripada Allah Pemilik Hati setiap hambaNya. Saya redha dengan ujian kesabaran ni. Tadi saya baca tafsir jumpa satu ayat ni. Allah berfirman dalam Quran yang bermaksud, apakah manusia itu mengira mereka dibiarkan mengatakan 'Kami telah beriman' sedang mereka belum diuji? Jadi sebab tu saya kene okay." sambungnya diakhiri dengan senyuman manis. 

Panjang perbualan dua sahabat malam itu. 
"Timah, jangan risau. Saya takkan tampar awak lah, saya tarik sikit je lemak kat tangan tu." disambut tawa keduanya.

Comments